Thursday, August 5, 2010

Bagaimana Rasulullah S.A.W bermesra dengan isterinya.

Sabda Rasulullah SAW: Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

Ketika kita menempuh bahtera rumah tangga, ketika kita sedang menjalankan perintah Allah dan Rasul-Nya, kita dianjurkan untuk melihat kembali kecintaan kita kepada keluarga Nabi. Dalam memperkuat kecintaan kita kepada keluarga Nabi di dalam mengayuh bahtera keluarga, kita diwajibkan meneladani perilaku kehidupan keluarga Rasulullah, baik perilaku terhadap isteri mahupun anak.

Dalam menggauli dan memperlakukan isteri-isteri Baginda, Rasulullah s.a.w. senantiasa menghormati dan menjaga perasaan isteri-isterinya melebihi suami-suami yang lainnya. Satu saat ketika Rasulullah hendak melaksanakan solat malam, beliau dekati isterinya Aisyah sampai Aisyah berkata: Di tengah malam beliau mendekatiku dan ketika kulitnya bersentuhan dengan kulitku beliau berbisik, “Wahai Aisyah, izinkan aku untuk beribadah kepada Tuhanku.”

Kita bayangkan betapa besar penghormatan Rasulullah kepada isterinya sampai ketika beliau hendak melakukan solat malam, beliau terlebih dahulu meminta izin kepada isterinya pada tengah malam, di saat isterinya memerlukannya. Pada izin Rasulullah itulah tergambar kecintaan dan penghormatan terhadap isterinya.

Nabi adalah sosok yang sangat sabar dalam memperlakukan isterinya. Hal ini terlihat ketika suatu hari ada salah seorang isterinya datang dengan membawa makanan untuk dikirim kepada Rasulullah yang sedang tinggal di rumah Aisyah. Aisyah dengan sengaja menjatuhkan kiriman makanan itu hingga piringnya pecah dan makanannya jatuh berderai. Rasulullah hanya mengatakan, “Wahai Aisyah, kifaratnya adalah mengganti makanan itu dengan makanan yang sama.”

Rasulullah mengecam suami-suami yang suka memukuli isteri-isterinya sampai Rasulullah berkata, “Aku hairan melihat suami-suami yang menyeksa isterinya padahal dia lebih patut disiksa oleh Allah SWT.”

Nabi pun mengecam suami-suami yang menghinakan isteri-isterinya, tidak menghargainya, tidak mengajaknya bicara, dan tidak mempertimbangkan isterinya dalam mengambil keputusan. Nabi bersabda, “Tidak akan pernah memuliakan isteri kecuali lelaki yang mulia dan tidak akan pernah menghinakan isteri kecuali lelaki yang hina.” Kerana itu marilah kita berusaha menjadi suami yang mulia yang menempatkan isteri pada tempat yang mulia.

Kemesraan pasangan adalah penting untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga dan Rasulullah s.a.w. telah mencontohkan kemesraan tersebut dengan isteri-isteri baginda.

Tidur dalam satu selimut bersama isteri

Dari Atha’ bin Yasar: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. dan Aisyah r.a. biasa mandi bersama dalam satu bejana. Ketika baginda sedang berada dalam satu selimut dengan Aisyah, tiba-tiba Aisyah bangkit. Baginda kemudian bertanya, “Mengapa engkau bangkit?” Jawab Aisyah, “kerana saya haid, wahai Rasulullah.” Sabda Rasulullah, “Kalau begitu, pergilah, lalu berkainlah dan dekatlah kembali padaku.” Aku pun masuk, lalu berselimut bersama beliau.” (Hadis Riwayat Sa’id bin Manshur)

Memberi wangi-wangian pada aurat

Aisyah berkata, “sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila meminyaki badannya, baginda akan memulai daripada auratnya menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isteri baginda meminyaki bahagian lain tubuh Rasulullah s.a.w. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Meminta isteri meminyaki badan

Dari Aisyah r.a, beliau berkata, “Saya meminyaki badan Rasulullah s.a.w. pada hari Raya ‘Aidil Adha’ setelah beliau melakukan jumrah aqabah.” (Hadis Riwayat Ibnu ‘Asakir)

Mandi bersama isteri

Dari Aisyah r.a. beliau berkata, “Aku biasa mandi bersama Nabi s.a.w. menggunakan satu bejana. Kami biasa bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bejana tersebut).” (Hadis riwayat Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)

Disikatkan oleh isteri

Dari Aisyah r.a, beliau berkata, “Saya biasa menyikat rambut Rasulullah s.a.w, ketika itu saya sedang haid.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Rasulullah S.A.W. bersabda bermaksud: Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya lebih baik dari isteri itu mengerjakan haji dan umrah

Minum bergantian pada tempat yang sama

Daripada Aisyah r.a., dia berkata: “Saya biasa minum dari cawan yang sama walaupun ketika haid. Nabi mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut, lalu Baginda minum, kemudian saya mengambil cawan tersebut dan lalu menghirup isinya, kemudian Baginda mengambilnya dari saya, lalu Baginda meletakkan mulutnya pada tempat saya letakkan mulut saya, lalu Baginda pun menghirupnya. ” (Hadis Riwayat Abdurrazaq dan Said bin Manshur)

Membelai isteri

“Adalah Rasulullah s.a.w. tidaklah setiap hari melainkan beliau mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang. Baginda menghampiri dan membelai kami tetapi tidak bersama sehingga Baginda singgah ke tempat isteri yang menjadi giliran Baginda, lalu Baginda bermalam ditempatnya. ” (Hadis Riwayat Ahmad)

Mencium isteri

Dari Aisyah r.a, “bahawa Rasulullah s.a.w. biasa mencium isterinya setelah mengambil wuduk, kemudian Baginda bersembahyang dan tidak mengulangi wuduknya.” (Hadis Riwayat Abdurrazaq)

Dari Hafshah, puteri Umar r.a., “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. biasa mencium isterinya sekalipun sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Berbaring di pangkuan isteri

Dari Aisyah r.a., “Nabi s.a.w. biasa meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian beliau membaca Al-Quran.” (Hadis Riwayat Abdurrazaq)

Memanggil dengan panggilan mesra

Rasulullah s.a.w. biasa memanggil Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang di sukainya seperti Aisy dan Umairah (pipi merah delima).

Menyejukkan kemarahan isteri dengan mesra

Nabi s.a.w. biasa memicit hidung Aisyah jika dia marah dan Baginda berkata, “Wahai Uwaisy, bacalah doa: Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku dari fitnah yang menyesatkan. ” (Hadis Riwayat Ibnu Sunni)

Membersihkan titisan darah haid isteri

Dari Aisyah r.a., dia berkata, “Aku pernah tidur bersama Rasulullah s.a.w. di atas satu tikar ketika aku sedang haid. Apabila darahku menitis di atas tikar itu, Baginda mencucinya pada bahagian yang terkena titisan darah dan baginda tidak berpindah dari tempat itu, kemudian beliau sembahyang di tempat itu pula, lalu Baginda berbaring kembali di sisiku. Apabila darahku menitis lagi di atas tikar itu, Baginda mencuci pada bahagian yang terkena titisan darah itu saja dan tidak berpindah dari tempat itu, kemudian baginda pun sembahyang di atas tikar itu.” (Hadis Riwayat Nasai)

Memberikan hadiah

Dari Ummu Kaltsum binti Abu Salamsh, ia berkata, “Ketika Nabi s.a.w. menikah dengan Ummu Salamah, Baginda bersabda kepadanya, “Sesungguhnya aku pernah hendak memberi hadiah kepada Raja Najasyi sebuah pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku mengetahui ternyata Raja Najasyi telah meninggal dunia dan aku mengagak hadiah itu akan dikembalikan. Jika hadiah itu memang dikembalikan kepadaku, aku akan memberikannya kepadamu.” Dia (Ummu Kaltsum) berkata, “Ternyata keadaan Raja Najasyi seperti yang disabdakan Rasulullah s.a.w. dan hadiah tersebut dikembalikan kepada Baginda, lalu Baginda memberikannya kepada masing-masing isterinya satu botol minyak kasturi, sedang sisa minyak kasturi dan pakaian tersebut Baginda berikan kepada Ummu Salamah.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Segera menemui isteri apabila tergoda

Dari Jabir, sesungguhnya Nabi s.a.w. pernah melihat wanita, lalu Baginda masuk ke tempat kediaman Zainab, untuk melepaskan keinginan Baginda kepadanya, lalu keluar dan bersabda, “Wanita kalau menghadap, ia menghadap dalam rupa syaitan. Apabila seseorang di antara kamu melihat wanita yang menarik, hendaklah ia mendatangi isterinya kerana pada diri isterinya ada hal yg sama dengan yang ada pada wanita itu.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Begitu indahnya kemesraan Rasulullah s.a.w. kepada para isteri Baginda, memberikan gambaran betapa Islam sangat mementingkan sikap kerana sikap dan perbuatan baik cara yang paling efektif menyatakan rasa cinta, kasih dan sayang antara suami dan isteri. Inilah teladan yg perlu dicontohi.

Berkhidmat pada isteri

Salah satu ibadah yang paling besar di dalam Islam adalah berkhidmat kepada isteri. Rasulullah bersabda, “Duduknya seorang lelaki dengan isterinya kemudian membahagiakan isterinya, pahalanya sama dengan orang yang itikaf di masjidku.”
Kita dapat saksikan para jemaah haji ketika tinggal selama seminggu di sana mereka berusaha melakukan itikaf dengan sebaik-baiknya di masjid Nabawi. Kita akan memperoleh pahala yang sama seperti itikafnya para jamaah haji kalau kita duduk bersama isteri dan berusaha membahagiakan, memberikan ketenteraman dan keselesaan kepadanya.

Begitu pula bagi para isteri. Mereka haruslah menjadi seorang isteri seperti Khadijah Al-Kubra. Khadijah adalah sosok isteri yang sangat dicintai oleh suaminya. Selama Rasulullah menikah dengannya, Rasulullah tidak pernah memikirkan the other women beside her, wanita lain di samping Khadijah. Rasulullah hidup dalam suasana yang penuh dengan kecintaan dan kasih sayang.

Cinta kasih Nabi terhadap Khadijah tergambar dalam riwayat berikut ini: Setelah Khadijah meninggal dunia, Rasulullah menikah dengan Aisyah. Suatu hari Rasulullah sedang berada di depan rumah. Tiba-tiba Rasulullah meninggalkan Aisyah menuju kepada seorang perempuan. Rasulullah memanggilnya dan menyuruh perempuan itu duduk di hadapan-nya kemudian mengajaknya berbicara.

Sabda Rasulullah S.A.W. - Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki.

Aisyah bertanya, “Siapakah perempuan tua ini?” Rasulullah menjawab, “Inilah sahabat Khadijah dulu.” Lalu Aisyah berkata, “Engkau sebut-sebut juga Khadijah padahal Allah telah menggantikannya dengan isteri yang lebih baik.”

Ketika itu marahlah Nabi sampai bergoncang rambut di atas kepalanya. Lalu beliau berkata, “Demi Allah, tidak ada yang dapat menggantikan Khadijah. Dialah yang memberikan kepadaku kebahagiaan ketika orang menghinaku. Dialah yang menghiburku dalam penderitaan ketika semua orang membenciku. Dialah yang memberikan seluruh hartanya kepadaku ketika semua orang menahan pemberiannya. Dan dialah yang menganugerahkan kepadaku anak ketika isteri-isteri yang lain tidak memberikannya. ” Mendengar itu Aisyah tidak dapat memberikan jawaban. Hadis ini diriwayatkan dalam Shahih Bukhari dan Muslim.

Dalam ucapan Rasulullah itu, selain terkandung kecintaan Rasul terhadap Khadijah, juga terkandung kebaktian Khadijah terhadap suaminya. Khadijahlah yang menghibur suaminya ketika dalam perjuangan dilanda berbagai penderitaan. Khadijahlah yang mengorbankan seluruh hartanya ketika suaminya memerlukan. Khadijahlah yang mendampingi suaminya dalam suka dan duka. Sehingga Rasul berkata, “Tidak ada seorang pun yang dapat menggantikan Khadijah.”

Kepada para isteri, jadilah seperti Khadijah yang setiap saat rela mengorbankan apa pun demi kebahagiaan suami. Yang di saat-saat suami ditimpa duka dan kesusahan siap berdiri di sampingnya, memberikan hiburan dan kebahagiaan kepadanya dengan seluruh jiwa dan raga.

Kebaktian kepada suami di dalam Islam dianggap ibadah yang utama. Sampai Rasulullah bersabda, “Kalau seorang perempuan memberikan setitis minum kepada suaminya atau memindahkan barang dari rumahnya ke tempat yang lain untuk membahagiakan suaminya, maka pahalanya sama dengan melakukan ibadah satu tahun.” Oleh sebab itu, hormatilah suami. Berikan kepadanya penghormatan yang sepenuhnya dan berikanlah kecintaan yang sepenuhnya. Insya Allah, Tuhan akan berkati keluarga yang seperti demikian.

APA KATA RASULULLAH TENTANG WANITA DAN ISTERI

1. Dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan iaitu wanita (isteri) yang solehah.
(Riwayat Muslim)

2. Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi, agar mereka mencium bau harumnya,maka iaa dalah perempuan zina, dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina. (Riwayat Ahmad,Thabrani dan Hakim)

3. Dikahwini wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka carilah yang kuat beragama, nescaya kamu beruntung.

4. Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. (RiwayatAhmad Ibnu Hibban, Thabrani, Anas bin Malik)

5. Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaan berhias bukan untuk suaminya dan muhrimnya adalah seumpama gelap gelita di hari khiamat, tiada nur baginya.(Riwayat Termizi)

6. Apabila lari seorang wanita dari rumah suaminya, tidak diterima sembahyangnya sehingga ia kembali dan menghulurkan tangan kepada suaminya (meminta maaf). (Riwayat dari Hassan)

7. Wanita yang taat pada suami, semua burung-burung diudara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristighfar baginya selama ia masih taat pada suaminya dan diredhainya serta menjaga sembahyang dan puasanya. (Riwayat Muaz bin Jabal)

8. Mana-mana wanita yang berdiri di atas kakinya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka diharamkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka. Tiap-tiap wanita yang menolong suaminya di dalam urusan agama, maka Allah memasukkannya dalam syuga lebih dahulu dari suaminya (sepuluh ribu tahun) kerana dia memuliakan suaminya di dunia maka mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan menghadapnya.

Ya Fatimah, jika seorang wanita meminyakkan rambut suaminya dan janggutnya dan memotong misainya dan mengerat kukunya, memberi minum Allah akan dia sungai syurga, diiringi Allah baginya sakaratul maut dan akan didapati kubur menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta mencatatkan Allah baginya kelepasan dari neraka dan selamatlah ia melintasi titian Siratul-mustaqim. (Riwayat Muaz bin Jabal)

9. Mana-mana wanita yang berkata kepada suaminya “tidak pernah aku dapat dari engkau satu kebajikan pun”. Maka Allah akan hapuskan amalannya selama 70 tahun, walaupun ia berpuasa siang hari dan beribadah pada malam hari.

10. Apabila wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya, Allah mencatatkan baginya setiap hari seribu kebajikan dan menghapus baginya seribu kejahatan. Apabila wanita mulai sakit untuk bersalin, Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah. Apabila wanita melahirkan anak keluarlah dosa-dosa darinya seperti keadaan ibunya melahirkannya.

Monday, August 2, 2010

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan Kareem

Moga-moga kedatangan Ramadhan pada tahun ini dapat kita bersama-sama mengisinya dengan penuh penghayatan sebagai bulan tarbiyyah dan tahzib diri semoga kita berada lebih dekat disisi-Nya. Selamat Berpuasa.

Dinar Mas dalam Syariat Islam['amalan yang dilupai]

Imam Malik radiallahu'anhu telah menjelaskan kepada kita bahawa wang ialah apa-apa barangan yang lazimnya diterima pakai sebagai bahan tukaran. Menurut sejarah Islam, tiada barangan yang boleh dipaksa menjadi wang kerana manusia bebas menggunakan apa sahaja barangan sebagai tukaran. Wang kertas seperti dolar Amerika Syarikat tidak ada sifat 'ayn (barangan lazim yang ketara) malahan nilainya dipaksa oleh kuasa pasaran. Jika kertas dianggap sebagai barangan pun nilainya hanyalah mengikut berat kertas dan bukan menurut nilai nombor yang tertera di atasnya.

Wang kertas mungkin hanya boleh dianggap sebagai 'dayn' kerana ianya bukan barangan ketara atau sebagai resit hutang untuk pemilikan emas atau perak (itu pun jika ada sandaran antara kertas dengan emas). Tetapi hukum Islam tidak membenarkan hutang dijadikan suatu bahan tukaran. Penggunaannya pun mestilah terhad sebagai kontrak peribadi. Di dalam Kitab Al-Muwatta (31.19.44) ada diriwayatkan tentang resit-resit yang dijual beli di Pasar Al-Jar sebelum barangan sampai. Marwan ibn al-Hakam telah menghantar pengawalnya untuk mengambil semula resit tadi dan mengembalikan kepada tuan asalnya.

Sejarah Islam telah menunjukkan kepada kita bahawa wang emas (Dinar) dan wang perak (Dirham) telah digunakan sehinggalah berakhirnya Kerajaan Islam Turki. Piawaian menurut berat yang dikenali sebagai Piawaian Khalifah Umar Al-Khattab radiallahu'anhu menentukan iaitu 10 dirham bersamaan dengan 7 dinar. Setiap Dinar mestilah ada 4.25 gram emas dan setiap Dirham ada 3 gram perak. Dinar dan Dirham telah digunakan untuk urusan perniagaan, menabung dan juga untuk membayar zakat (Umar Vadillo 1996).

Umar Vadillo juga menyatakan dalam buku yang sama bahawa Shaykh Muhammad 'Illish (1802-1881), seorang pakar pengajian fikah di Universiti Al-Azhar telah menyebut di dalam fatwa beliau bahawa wang kertas tidak dizakatkan sebagaimana wang emas dan wang perak kerana ia dianggap sebagai fulus (wang syiling tembaga) atau loose change. Ia hanya mewakili wang dan tiada nilai barangan. (Lihat fatwa beliau dalam terjemahan Al-Fath Al-'Ali Al- Maliki ms 164-165).

Wang kertas bukan barangan. Jika hendak dizakat pun mestilah diukur menurut berat bukan menurut nilai tertulis yang boleh pula berubah nilai tukarannya dengan wang kertas lain.
Dalam Islam mata wang sememangnya berkait rapat dengan kerajaan. Kajian Umar Vadillo juga menunjukkan bahawa Al-Qurtubi dalam Tafsir beliau telah memberi tafsiran tentang ayat al-Quran yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman! Patuhlah kepada Allah dan patuhlah kepada Pesuruh Allah dan mereka yang memerintah kamu....." (ayat 59 dari surah An-Nisa)
Ayat tersebut merupakan satu perintah supaya umat Islam taat kepada pemerintah dalam 7 perkara. Hal pertamanya ialah penempaan Dinar dan Dirham dan yang lainnya ialah menetapkan berat dan ukuran, keputusan mahkamah, haji, Jumu'ah, Hari Raya (Puasa dan Korban) dan Jihad.

Wang sejati yang bebas dari spekulasi menandakan bahawa kerajaan juga merdeka dan bebas dari spekulasi. Tiada kemerdekaan tulen selagi tiada mata wang tulen. Tidak hairanlah Al-Qurtubi meletakkan perkara Dinar dan Dirham sebagai perkara utama tentang patuh dan taat kepada pemerintah.

Wang Kertas : Penipuan terbesar dalam sejarah manusia

Hari ini kalau ada yang berazam untuk tidak mahu menggunakan wang kertas ,orang berkenaan ‘wajib’ berpindah ke dalam hutan. Begitu sekali sekeping wang kertas bergelar ‘not’ menguasai seluruh kehidupan manusia.

“ Apa itu wang kertas?” wacana tentang riba dan wang emas tidak mungkin lengkap kalau tidak menyentuh soal wang kertas kerana kedua-dua matawang ini dan riba ada hubung kaitnya dari segi sejarah.

Sejarah mencatatkan bahawa antara wang yang paling awal muncul di dunia ini adalah wang emas yang digunakan pada empayar Rom di Eropah, berkurun lama sebelum kedatangan Islam di bumi Arab. Wang emas terus digunakan oleh dunia Islam dan bahagian-bahagian dunia yang lain setelah keadatangan Nabi Muhammad s.a.w. Kearajaan Melayu Melaka pada kurun ke-14 Masehi juga menggunakan wang emas.

Namun, penggunaannya berakhir pada 1924 berikut runtuhnya kerajaan Khilafah Islamiah terakhir iaitu Khalifah Uthmaniah yang berpusat di Istanbul, Turki. Selepas itu, dunia beralih kepada wang kertas yang bersandarkan emas.

Namun, sejarah wang kertas diwarnai misteri, tipu daya dan pembelitan yang dahsyat. Warga Amerika Syarikat, G Edward Griffin dalam buku The Creature From Jekyll Island berkata bahawa titik bermulanya penipuan wang kertas adalah pada 1910. Mesyuarat misteri di pulau Jekyll pada tahun itu membawa kepada penubuhan the Federal Reserve Department (FRD) pada tahun 1913 yang keahliannya bukan di kalangan rakyat atau institusi kerajaan Amerika Syarikat . Sebaliknya dianggotai oleh syarikat milik persendirian asing. Penggunaan perkataan ‘federal’ (persekutuan) ke atas sesuatu yang berbentuk persendirian adalah pembohongan yang nyata. Kongres Amerika Syarikat pula terpaksa meluluskannya secara curi-curi.

Jabatan ini kemudiannya mentadbir segala urusan kewangan Negara Amerika Syarikat., antaranya mencetak wang kertas Dolar Amerika dan memperkenalkan Fractional Reserve Bangking (FRB) atau Fractional Reserve Requirement (FRR) yang menjadi asas perjalanan sesebuah bank. Sehingga hari ini, FRB digunakakn oleh industri perbankan di seluruh dunia termasuk Malaysia untuk mencipta wangsesuka hati dalam jumlah yang berlipat kali ganda melebihi kekayaan sebenar.

Berikutan penubuhan FRD, banyak peristiwa besar berlaku sehingga membolehkan British mengusai Bandar Jerusalem pada 1919. Penguasaan itu menandakan berakhirnya era Perang Salib yang berlangsung selama 250 tahun antara umat Islam dan Kristian. Dinia pun berubah dengan mendadak. Kemuncaknya ialah kejatuhan Kerajaan Khalifah Uthmaniah.

Peristiwa demi peristiwa terus mengejutkan dunia, antaranya Perang Dunia Pertama dan krisis ekonomi dunia besar-besaran pada 1929. Pada 1944, muncul pula perjanjian Bretton Woods yang melibatkan 44 buah Negara dunia yang bersetuju untuk menyandarkan mata wang kertas masing-masing kepada Dolar Amerika dengan jaminan bahawa USD35 bersamaan dengan satu auns emas.

Negara-negara dunia tidak lagi menyandarkan mata wang kertas kepada rizab emas masing-masing seperti sebelum ini. Setahun selepas Dolar Amerika mendapat ‘daulat’ berkenaan, International Monetory Fund (IMF) pun ditubuhkan. Pada 1948, Negara Israel mendapat pengiktirafan sebagai sebuah Negara berdaulat di tengah-tengah Negara Palestin yang sah.

Seterusnya pada 1971, kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Ricard Nixon hampir bankrap gara-gara Perang Vietnam dan masalah deficit imbangan pembayaran yang berterusan. Tuntutan rasmi terhadap rizab emas Amerika Syarikat melambung kepada USD32 bilion sedangkan rizab emas yang ada hanya satu pertiga. Keyakinan terhadap Dolar Amerika punah. Berduyun-duyun bank pusat negara lain memeras ugut Amerika Syarikat dengan cara menebus pegangan Dolar Amerika masing-masing. Emas mengalir keluar dari Amerika Syarikat lalu dengan sendirinya meruntuhkan nilai Dolar Amerika.

Namun Amerika licik bertindak dengan memutuskan ikatan antara Dolar Amerika dan emas. Ini bermakna Amerika Syarikat memungkiri perjanjian Bretton Woods dan bertindak secara unilateral untuk menguburkan system piawaian emas.

Selepas 15 ogos 1971, doalr tidak lagi bersandarkan kepada emas. Sejak itu, nilai dolar ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran pasaran tukaran wang asing. Kesannya, semua matawang dunia berubah menjadi matawang fiat iaitu matawang yang bernilai sifar. Ini bermakna setiap Negara bebas mencetak wang kertas tana perlu bersandarkan kepada apa-apa rizab. Kalau ada pun, ia dalam jumlah yang kecil seperti yang ditetapkan oleh Special Drawing Rights IMF. Bayangkan betapa liciknya permainan ini.

Pun begitu apa jua tipu daya tetap ada kelemahannya seperti mana yang disebut oleh Allah dalam al-Quran,Firmannya :


الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ

فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفً

Maksudnya :

“Orang-orang yang beriman dan berperang di jalan Allah dan orang-orang yang kafir berjalan di jalan thaghut, sebab itu perangi lah kawan-kawan syaitan itu kerana tipu daya syaitan itu adalah lemah.” [surah an-Nisa’, ayat 76]

Sekarang, ‘tabir’ yang melindungi wajah sebenar wang kertas semakin terungkai. Dunia mula mengetahui apa ada di sebalik wang kertas. Wang kertas tidak mempunyai nilai intrinsik seperti mana wang sebenar (contohnya emas, perak, sebakul barangan dan lain-lain).

Nilai yang dicetak di atas wang kertas kini ditentukan oleh kerajaan yang mengeluarkannya dan kuasa pasaran (market forces). Ini bermakna nilainya bergantung kepada permintaan dan manipulasi pihak yang mengeluarkannya. Ia hanya lah ‘janji’ untuk membayar dan pihak yang mengeluarkannya tidak semesti menunaikan ‘janji’ itu. Atas inilah, sebagai contoh, pada wang kertas Ringgit Malaysia yang kita gunakan sekarang, tercetak ayat, “wang kertas ini sah diperlakukan dengan nilai….”.

Wang kertas digelar fiat kerana ia bukan berbentuk komoditi tetapi dikeluarkan oleh pihak tertentu dan dijamin nilainya oleh pihak yang mengeluarkan. Pengertian sebenar disebalik wang kertas ialah sekadar ‘sekeping kertas’ yang diterima pakai untuk semua urusan jual beli. Asas penerimaan kertas ini hanya atas dasar kepercayaan terhadapnya.Kepercayaan semata-mata! Itu sahaja! Sekiranya di suatu masa kelak, semua orang hilang kepercayaan terhadap ‘kertas ini’ lalu ia tidak lagi berguna, sekalipun jumlahnya berguni.

Sejarah membuktikan bahawa dalam peperangan mata wang sesebuah Negara dilanda krisis akan hancur lalu wang kertas dilambakkan seperti bukit di satu tempat dan dimansuhkan dengan cara membakarnya hingga hangus. Di Malaysia, sebahagian besar generasi sebelum merdeka masih lagi mengingati istilah ‘duit pisang’ atau ‘duit Jepun’ yang menyaksikan berguni duit kertas tidak mampu untuk membeli secawan beras. Ungkapan ‘duit tak laku’ bukan lah sesuatu yang asing buat orang lama yang pernah melalui pengalamn buruk itu.

Selain wang kertas, wang fiat juga merujuk kepada wang dalam bentuk angka dalam akaun, hutang-hutang yang dikeluarkan oleh bank atau institusi kewangan dan kad plastic digital. Wang ini tidak disokong oleh apa-apa aset yang nyata. Nilainya mudah dimainkan oleh speculator matawang yang berniat jahat, tamak dan tidak berperikemanusian.

Krisis ekonomi Asia pada 1997 adalah contoh yang paling dekat dengan kita. Spekulasi dan manipulasi menyebabkan berlaku susut nilai matawang atau lebih buruk, matawang itu langsung tidak bernilai. Keadaan yang dinamakan ‘money meltdown’ ini sudah pun berlaku dalam tahun-tahun kebelakangan (kejatuhan Dolar Amerika pada 1973 dan 1980). Keadaan ini pasti akan berulang. Krisis ekonomi dunia diramal menjadi lebih teruk berbanding pada tahun 1929.

Sistem ekonomi kapitalis, bank dan institusi kewangan dengan cara tidak bertanggungjawab telah mencipta wang fiat dengan banyak di pasaran sehingga menyebabkan inflasi. Wang itu dicipta melalui kepelbagaian deposit, memberi hutang dan mengenakan faedah. Setiap wang fiat yang didepositkan ke dalam bank akan mencambahkan tiga wang fiat lagi yang boleh diberikan kepada individu dan syarikat perniagaan. Ekonomi ini adalah ekonomi palsu yang tidak berasaskan kepada pengeluaran sebenar.

Sesetengah kerajaan mencetak wang sewenang-wenang tanpa bersandarkan kepada pengeluaran sebenar dalam Negara bagi kepentingan pemerintah dan pengekalan kuasa.

Apabila semakin banyak wang dicetak, nilai wang fiat akan berkurangan dan menyebabkan inflasi. Kuasa beli rakyat pula akan berkurangan. Satu wang fiat tidak memungkinkan kita membeli barangan yang sama kita beli seperti sepuluh tahun yang lalu. Ini menjadikan nilai wang kertas fiat hanya terletak pada barangan yang kita beli hari ini. Sebagai contoh, tiga puluh tahun lalu, seseorang yang bergaji RM 1000 sebulan mampu memiliki kereta import berjenama dan sebuah banglo. Hari ini, gaji sebanyak RM 20 000 sebulan belum tentu menjanjikan kereta import dan banglo. Harga barangan menjadi terlalu tinggi iaitu meningkat berkali ganda berbanding peningkatan dalam pendapatan.

Orang sekarang berkerja siang dan malam serta melakukan bermacam-macam jenis pekerjaan, tetapi masih berada di dalam keadaan kekurangan. Harta pada hakikatnya dimiliki oleh bank atau institusi kewangan. Hampir semua orang berhutang dengan bank atau institusi keewangan dan pada bila-bila masa boleh menjadi papa kedana kerana hutang itu. Malah hutang bank juga boleh diwarisi sehingga ke anak cucu.

Kadar pengangguran dan kegagalan syarikat perniagaan pula semakin meningkat dari hari ke hari. Semua ini angkara sistem kewangan fiat yang menyebabkan ekonomi berkembang secara tidak stabil serta mewujudkan jurang besar antara golongan berada dengan golongan tidak berada.

Jelas wang kertas adalah wang yang tidak adil dan tidak jujur. Apabila Amerika Syarikat meluluskan penubuhan FRD dan Amerika Syarikat mengadakan perjanjian Bretton Woods pada 1944, seluruh ummah sebenarnya sudah ditipu ‘hidup-hidup’. Inilah penipuan terbesar dalam sejarah manusia.

Sumber : Milenia Muslim, Julai.

Sunday, June 20, 2010

Angkara kekejaman pendatang haram yahudi laknatullah.














Sama-samalah kita berdoa' semoga ALlah menghapuskan dan menghancurkan pendatang haram yahudi dari atas muka bumi ini.
Janji-janji ALlah akan tiba, tunggulah masa dan ketika nya.

Kuasa Wang


ALlah menguji kta dengan dua perkara. Pertama diberikan harta kekayaan untuk melihat kita bersyukur atau tidak, dan diberikan kemiskinan untuk melihat kita bersyukur pada-Nya atau tidak.
Ada orang yang diberikan harta kekayaan oleh ALlah tapi dia kufur dan ada orang diberikan oleh ALlah dengan kemiskinan dia juga kufur pada ALlah.
Oleh itu jadilah orang yang diberikan oleh ALlah dengan rezeki yang sebagaimanapun ia tetap bersyukur pada ALlah samaada ia kaya atau miskin.

Saturday, February 20, 2010

Empayar Uthmaniyah

Para Khilafah Uthmaniyah membina empayar mereka dengan semangat Islam yang menyala dan membara. Mereka membangunkannya dengan keringat dan kesungguhan, darah dan air mata, harta benda dan jiwa, demi menegakkan syariah dan kalimah Allah.


Tidak hairanlah dengan semangat juang yang tinggi itu mereka berjaya menakluk Konstantinople yang menjadi idaman setiap bangsa dunia ketika itu. Perjuangan mereka berpandukan sabda Rasulullah s.a.w, “Konstantinople akan dapat ditakluki oleh seorang lelaki. Maka dia adalah sebaik-baik pemimpin dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.”


Janji Rasulullah s.a.w ini tertunai apabila pada tahun 1453, kota Konstantinople jatuh ke dalam genggaman Sultan Mehmed al-Fatih. Pembentukan kerajaan Uthmaniyah dengan asas kekuatan jihad Islam telah menjadikan mereka sebagai satu pasukan elit yang terlatih, berdisiplin, bersemangat, memiliki keberanian dan ketangkasan yang tiada taranya.


Malahan semangat dakwah mereka mampu merubah satu bangsa nomad yang sederhana menjadi sebuah pembangun empayar yang amat digeruni dengan kuasanya melebar ke tiga benua iaitu di Afrika, Asia Tengah dan Eropah hingga menjangkau ke benteng kota Vienna, Austria.


Paul Kennedy menyatakan dalam tulisannya :


“Empayar Uthmaniyah bukan hanya sebuah kerajaan tentera malahan ia mampu menjadi penakluk elit yang dibentuk dari satu kesatuan iman, budaya dan bahasa pada sebuah kawasan yang lebih luas dari Empayar Rumawi (Byzantine) dan bagi penduduk yang lebih besar jumlahnya. Dalam beberapa abad sebelum kurun ke-14, Islam telah melampaui Eropah dalam bidang kebudayaan dan teknologi. Kota-kotanya sangat luas, tersusun dan perairan yang sangat baik. Beberapa kota turut mempunyai perpustakaan yang lengkap dan masjid yang indah. Dalam bidang matematik, kartografi, perubatan dan aspek lain daripada jurusan sains dan industri, kaum muslimin sering terkehadapan.”



“SESUNGGUHNYA Kami menurunkan kitab itu berupa Al-Quran yang dibaca dengan bahasa Arab agar kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.” Demikianlah firman ALLAH melalui Surah Yusuf; ayat 2. Dalam kehidupan kita selaku umat Islam, sudah semestinya Al-Quran amat berkait rapat dengan tatacara hidup dan undang-undang syariat di muka bumi ALLAH ini. Oleh itu, usaha memahami isi kandungan dan kehendak ajaran ALLAH melalui Al-Quran adalah amat dituntut.

Memahami Al-Quran, dari segala tuntutan dan ajarannya tidak akan terlaksana, sekiranya kita umat Islam tidak mengerti bahasa Arab.

Dalamilah bahasa Arab, bahasa Syurga!

CINTA, suatu lafaz ‘keramat’ yang acap kali khalayak membicarakan tentangnya – dari yang bernama remaja sehinggalah insan-insan yang usianya ditelan senja. Ia diibaratkan hembusan nafas untuk sebuah kehidupan, suatu anugerah kurniaan Ilahi. CINTA, sebahagian naluri insani; ingin berCinta dan diCintai. Tapi, CINTA – tidak selamanya mengarah dan menjurus kepada perilaku seksual semata. Masih ada CINTA lain yang harus kita perhatikan dan dambakan sentiasa – suatu hakikat yang sering dilupakan. Apakah CINTA itu?
Cinta kepada Islam…
Cinta kepada saudara seIslam…
Cinta akan keadilan dan kebenaran…
Itupun, masih banyak bunga-bunga CINTA yang belum dibicarakan, yang terukir indah di bawah naungan CINTA Allah dan Rasul-Nya! Semoga, huraian dan paparan penulis membawa kepada pemahaman CINTA dalam erti kata sebenar – CINTA yang tidak hanya sebatas di bumi, tetapi menerobos ke alam Syurgawi!

Seindah-indah CINTA
adalah CINTA kepada
Penggenggam alam semesta..
Kepada yang Maha Mencinta
yang tiada pernah putus CintaNya
yang kekal CintaNya…
DIAlah ALLAH!
ALLAH yang Maha Agung
Maha Indah, Maha Penyayang
Maha Membela, Maha Mempesona
CINTA kebenaran
CINTA Rasulullah
CINTA semata-mata
kerana ALLAH...

Selamat berCINTA!____________________________________________________________

Marah

IMAM Syafie ada menegaskan: "Marah adalah satu di antara panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala ten teranya."

Apabila marah dituruti, ia akan membakar kebaikan seperti api membakar kayu dan tiada yang tertinggal kecuali debu. Bagi menghilangkan perasaan marah ada beberapa panduan yang boleh diikuti, iaitu:


1. Perlu berasa malu dengan Allah atas segala tindakan kita. Allah memerhatikan segala tindakan dan sikap biadab kita.

2. Apabila datang perasaan hendak marah, ingatlah kita ini hanya manusia yang hina.

3. Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah supaya Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

4. Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah. Ia mungkin membawa kepada permusuhan dan balas dendam daripada orang yang kita marahi.

5. Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika marah. Ia lebih buruk daripada perlakuan seekor haiwan apabila kita dalam keadaan marah.

6. Apabila datang perasaan marah, banyakkan membaca isti'azah kerana marah itu datang daripada syaitan.

7. Apabila marah sedang memuncak, ambillah wuduk kerana ia dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

8. Jika marah tidak dapat hilang dengan melakukan perkara seperti di atas, hendaklah tidur. Ini kerana ia dapat meredakan perasaan marah apabila bangkit dari tidur nanti.

9. Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datang daripada Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah?

10. Apabila kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Begitu juga dengan orang lain yang melakukan kesilapan, tidak suka dimarahi, sebalik ditegur secara baik.

11. Satu cara lagi, apabila marah datang, sedangkan kita berdiri, duduklah.
Apabila duduk, bersandarlah. Insya-Allah marah akan mula reda.

Dorong Hati Untuk Mendekati Khusyuk


Apabila hati berpaling kepada selain dari mengingati Allah ketika solat, maka tolonglah hati itu dengan memberi peringatan kepadanya bahawa Allah itu amat mengetahui kedudukan hati ini. Sesungguhnya amat bodoh orang yang bermunajat kepada Allah sedangkan hatinya lalai.


Seorang yang bermunajat dengan Allah bererti ia amat memerlukan sesuatu dari Allah, amat mustahak dan begitu penting, ibarat seseorang mempunyai hajat terhadap seorang lain, oleh kerana hajatnya itu begitu besar dan mustahak maka ia terpaksa bertemu hanya empat mata. Selain itu cara menyampaikan hasratnya itu begitu rahsia, kerana mungkin ia sedang keputusan wang belanja atau keputusan keperluan dapur dan sebagainya, lalu ia ingin berhutang dengan rakannya itu oleh itu ia terpaksa berbisik-bisik supaya tidak diketahui oleh orang lain.
Tentunya lebih hebat lagi pengertian munajat seorang hamba terhadap Allah, kerana yang hendak dipinta dari Allah ketika munajat (solat) itu sudah pasti perkara yang lebih penting dari keperluan duniawi, bahkan yang dipinta dari Allah ialah taufiq, hidayah, iman, rahmat, pengampunan, pimpinan dan bimbingan kepada hatinya agar tidak lalai terhadap Allah.Tetapi alangkah buruknya hati seseorang yang sedang bermunajat kepada Allah dengan hati yang lalai, adalah mustahil jika seseorang itu benar-benar berhajat kepada Allah ia masih boleh lalai dalam munajatnya dengan Allah.

Sedangkan ketika seorang hendak mendapatkan bantuan atau pertolongan dari rakannya, ia sanggup merintih, berbisik-bisik dan merayu dengan suara yang merendah dan bersungguh-sungguh. Maka mustahil ia boleh terlalai kerana ia benar sedang memerlukan bantuan dari sahabatnya itu.Oleh itu segeralah memberikan pertolongan kepada hati yang lalai ketika bermunajat kepada Allah, dengan mengingatkan ia bahawa bila seseorang itu berhasrat hendak bertemu dengan Allah melalu solat bererti ia amat memerlukan.
Pertemuan itu amat penting dan ia mesti dihargai dengan mengajar diri sendiri agar berusaha menghindari sifat lalai itu.Untuk menjauhkan kelalaian itu dipaksa hati agar ia ingat akan Allah, dengan sentiasa mengawal wajah hati dari berpaling kepada Allah dengan khusyuk. Kerana apabila batin telah khusyuk maka segala perbuatan yang lahir juga akan menjadi khusyuk.Bila anggota lahir melakukan gerakan yang tidak perlu seperti menyapu muka, mengurut janggut, membelai hujung serban dan sebagainya ini menandakan hatinya tidak khusyuk.

Jasad manusia ibarat rakyat, hati adalah pemerintahnya, sudah tentu rakyat akan bekerja menurut arahan permerintahannya. Demian juga sifat khusyuk itu akan mempengaruhi perbuatan yang lahir.

Oleh itu Rasullullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:-"Ya Allah perbaiklah para pemimpin dan orang-orang yang dipimpin." Pemimpin dan orang yang dipimpin itu bukan sahaja bermaksud pemerintah atau raja dan rakyat, tetapi juga pengertian pemimpin dan orang yang itu termasuklah hati dan anggota jasad. Wallahualam.

dipetik dari Tazkirah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat


Aduhai bidadari syurga…

Mendengar lagu dan membaca hikayat kalian
membuatkan aku tertanya-tanya.
Mampukah aku menjadi seperti kalian?
Layakkah aku berdiri di sisi kalian?
Sedangkan perjuangan ku tak tersaing dengan kalian
dan kehambaan ku tak sehebat pengabdian kalian…..
Riwayat bidadari syurga,
menambat hatiku pada Yang Esa…

Al-Khansaa` berpuisi pada putera-puteranya :
“Wahai putera-puteraku,
Jika kamu bangun esok pagi
Keluarlah memerangi musuh-musuh Allah
Dan kerana Nya, kamu akan mendapat kemenangan.”
Begitulah Al-Khansaa`
Tidak diratapi putera-puteranya yang gugur
Tidak disesali putera-puteranya yang syahid…

Iman dan taqwa ini
Begitu menusuk jiwanya
Hingga pujukan ayahnya
Gagal melenturkan hatinya
Ayahnya Musyriq
Suaminya Nasrani
Wahai Ramlah,
Kesabaranmu diganjar i Allah
Ayahmu menjadi muslim
Dan suamimu Rasulullah S.A.W..
Tanpa gentar engkau berjuang
Penuh megah kau julangi panji-panji Islam
Wahai Nasibah
Engkau adalah lambang
Kegagahan seorang wanita…

Yang bijak, yang anggun
Yang tegas, yang lembut
Dirimu pelengkap sifat wanita
Kesetiaanmu pada Uthman tiada tandingan
Wahai Nai`lah Al-Farafishah
Engkaulah hiasan sebaik permata….

Pengorbanan Saudah yang tak ternilai harganya…
Mengutamakan yang lebih utama di hati Baginda
Walau dirimu berendam air mata…
Wahai Rasulullah, biarkan aku terus menjadi isterimu
Kerana kedudukan itu
Lebih mulia dari seorang janda”…
Mulianya hatimu wahai Suadah binti Zam` ah….

Hafsah bin Umar…
Dalam kelemahan sebagai manusia
Masih ada ruang memohon ampun Nya
Kau satukan helaian wahyu
Kalimah yang agung
Menjadi lembar pedoman turun temurun

Rumaisa
Kau sedar setiap anugerah itu adalah pinjaman
Penuh redha engkau terima
Setiap kau miliki bukanlah milikmu yang hakiki
Tiba masa harus kembali pada yang haq
Walaupun yang dikembalikan itu
Adalah anakmu sendiri….

Pelbagai iktibar dapat kita teladani melalui kisah-kisah mereka.Kisah Hawa, Siti Khadijah r.a, Aisyah r.a, Pesona Zulaikha, Balqis, Ainul Mardhiah, Zubaidah Binti Jaafar, Halimah As-Sa`adiah, Yukabid, Fatimah Az-Zahra, Hindun, Asiah, Nasibah, Asma` Bt Abu Bakar, Zainab Bt Ali, Rabiatul Adawiyah, Zinnirah, Masyitah dan nama-nama serikandi Islam yang lain. Pelbagai buku yang menceritakan kisah serikandi-serikandi Islam terdapat di pasaran.

Dan, sama-samalah kita menghayati dan menyusuri liku-liku kehidupan dan pengorbanan serikandi-serikandi Islam yang sanggup berjuang dan berkorban mempertahankan keimanan mereka terhadap Allah S.W.T sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa mereka sendiri. Itu semua dilakukan demi meninggikan syiar Islam di muka bumi ini dan mengagungkan agama Allah.

Walaupun kita mungkin tidak mampu meletakkan nama kita sebaris dengan para seikandi ini tetapi marilah kita berusaha untuk memperbaiki diri dan meningkatkan keimanan kita supaya kita dapat bersama-sama mereka di syurga nanti.Insyaallah. Al Fatihah untuk para seikandi ini.Semoga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat dan redha Allah S.W.T.