Saturday, February 20, 2010

Empayar Uthmaniyah

Para Khilafah Uthmaniyah membina empayar mereka dengan semangat Islam yang menyala dan membara. Mereka membangunkannya dengan keringat dan kesungguhan, darah dan air mata, harta benda dan jiwa, demi menegakkan syariah dan kalimah Allah.


Tidak hairanlah dengan semangat juang yang tinggi itu mereka berjaya menakluk Konstantinople yang menjadi idaman setiap bangsa dunia ketika itu. Perjuangan mereka berpandukan sabda Rasulullah s.a.w, “Konstantinople akan dapat ditakluki oleh seorang lelaki. Maka dia adalah sebaik-baik pemimpin dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.”


Janji Rasulullah s.a.w ini tertunai apabila pada tahun 1453, kota Konstantinople jatuh ke dalam genggaman Sultan Mehmed al-Fatih. Pembentukan kerajaan Uthmaniyah dengan asas kekuatan jihad Islam telah menjadikan mereka sebagai satu pasukan elit yang terlatih, berdisiplin, bersemangat, memiliki keberanian dan ketangkasan yang tiada taranya.


Malahan semangat dakwah mereka mampu merubah satu bangsa nomad yang sederhana menjadi sebuah pembangun empayar yang amat digeruni dengan kuasanya melebar ke tiga benua iaitu di Afrika, Asia Tengah dan Eropah hingga menjangkau ke benteng kota Vienna, Austria.


Paul Kennedy menyatakan dalam tulisannya :


“Empayar Uthmaniyah bukan hanya sebuah kerajaan tentera malahan ia mampu menjadi penakluk elit yang dibentuk dari satu kesatuan iman, budaya dan bahasa pada sebuah kawasan yang lebih luas dari Empayar Rumawi (Byzantine) dan bagi penduduk yang lebih besar jumlahnya. Dalam beberapa abad sebelum kurun ke-14, Islam telah melampaui Eropah dalam bidang kebudayaan dan teknologi. Kota-kotanya sangat luas, tersusun dan perairan yang sangat baik. Beberapa kota turut mempunyai perpustakaan yang lengkap dan masjid yang indah. Dalam bidang matematik, kartografi, perubatan dan aspek lain daripada jurusan sains dan industri, kaum muslimin sering terkehadapan.”



“SESUNGGUHNYA Kami menurunkan kitab itu berupa Al-Quran yang dibaca dengan bahasa Arab agar kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.” Demikianlah firman ALLAH melalui Surah Yusuf; ayat 2. Dalam kehidupan kita selaku umat Islam, sudah semestinya Al-Quran amat berkait rapat dengan tatacara hidup dan undang-undang syariat di muka bumi ALLAH ini. Oleh itu, usaha memahami isi kandungan dan kehendak ajaran ALLAH melalui Al-Quran adalah amat dituntut.

Memahami Al-Quran, dari segala tuntutan dan ajarannya tidak akan terlaksana, sekiranya kita umat Islam tidak mengerti bahasa Arab.

Dalamilah bahasa Arab, bahasa Syurga!

CINTA, suatu lafaz ‘keramat’ yang acap kali khalayak membicarakan tentangnya – dari yang bernama remaja sehinggalah insan-insan yang usianya ditelan senja. Ia diibaratkan hembusan nafas untuk sebuah kehidupan, suatu anugerah kurniaan Ilahi. CINTA, sebahagian naluri insani; ingin berCinta dan diCintai. Tapi, CINTA – tidak selamanya mengarah dan menjurus kepada perilaku seksual semata. Masih ada CINTA lain yang harus kita perhatikan dan dambakan sentiasa – suatu hakikat yang sering dilupakan. Apakah CINTA itu?
Cinta kepada Islam…
Cinta kepada saudara seIslam…
Cinta akan keadilan dan kebenaran…
Itupun, masih banyak bunga-bunga CINTA yang belum dibicarakan, yang terukir indah di bawah naungan CINTA Allah dan Rasul-Nya! Semoga, huraian dan paparan penulis membawa kepada pemahaman CINTA dalam erti kata sebenar – CINTA yang tidak hanya sebatas di bumi, tetapi menerobos ke alam Syurgawi!

Seindah-indah CINTA
adalah CINTA kepada
Penggenggam alam semesta..
Kepada yang Maha Mencinta
yang tiada pernah putus CintaNya
yang kekal CintaNya…
DIAlah ALLAH!
ALLAH yang Maha Agung
Maha Indah, Maha Penyayang
Maha Membela, Maha Mempesona
CINTA kebenaran
CINTA Rasulullah
CINTA semata-mata
kerana ALLAH...

Selamat berCINTA!____________________________________________________________

Marah

IMAM Syafie ada menegaskan: "Marah adalah satu di antara panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala ten teranya."

Apabila marah dituruti, ia akan membakar kebaikan seperti api membakar kayu dan tiada yang tertinggal kecuali debu. Bagi menghilangkan perasaan marah ada beberapa panduan yang boleh diikuti, iaitu:


1. Perlu berasa malu dengan Allah atas segala tindakan kita. Allah memerhatikan segala tindakan dan sikap biadab kita.

2. Apabila datang perasaan hendak marah, ingatlah kita ini hanya manusia yang hina.

3. Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah supaya Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

4. Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah. Ia mungkin membawa kepada permusuhan dan balas dendam daripada orang yang kita marahi.

5. Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika marah. Ia lebih buruk daripada perlakuan seekor haiwan apabila kita dalam keadaan marah.

6. Apabila datang perasaan marah, banyakkan membaca isti'azah kerana marah itu datang daripada syaitan.

7. Apabila marah sedang memuncak, ambillah wuduk kerana ia dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

8. Jika marah tidak dapat hilang dengan melakukan perkara seperti di atas, hendaklah tidur. Ini kerana ia dapat meredakan perasaan marah apabila bangkit dari tidur nanti.

9. Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datang daripada Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah?

10. Apabila kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Begitu juga dengan orang lain yang melakukan kesilapan, tidak suka dimarahi, sebalik ditegur secara baik.

11. Satu cara lagi, apabila marah datang, sedangkan kita berdiri, duduklah.
Apabila duduk, bersandarlah. Insya-Allah marah akan mula reda.

Dorong Hati Untuk Mendekati Khusyuk


Apabila hati berpaling kepada selain dari mengingati Allah ketika solat, maka tolonglah hati itu dengan memberi peringatan kepadanya bahawa Allah itu amat mengetahui kedudukan hati ini. Sesungguhnya amat bodoh orang yang bermunajat kepada Allah sedangkan hatinya lalai.


Seorang yang bermunajat dengan Allah bererti ia amat memerlukan sesuatu dari Allah, amat mustahak dan begitu penting, ibarat seseorang mempunyai hajat terhadap seorang lain, oleh kerana hajatnya itu begitu besar dan mustahak maka ia terpaksa bertemu hanya empat mata. Selain itu cara menyampaikan hasratnya itu begitu rahsia, kerana mungkin ia sedang keputusan wang belanja atau keputusan keperluan dapur dan sebagainya, lalu ia ingin berhutang dengan rakannya itu oleh itu ia terpaksa berbisik-bisik supaya tidak diketahui oleh orang lain.
Tentunya lebih hebat lagi pengertian munajat seorang hamba terhadap Allah, kerana yang hendak dipinta dari Allah ketika munajat (solat) itu sudah pasti perkara yang lebih penting dari keperluan duniawi, bahkan yang dipinta dari Allah ialah taufiq, hidayah, iman, rahmat, pengampunan, pimpinan dan bimbingan kepada hatinya agar tidak lalai terhadap Allah.Tetapi alangkah buruknya hati seseorang yang sedang bermunajat kepada Allah dengan hati yang lalai, adalah mustahil jika seseorang itu benar-benar berhajat kepada Allah ia masih boleh lalai dalam munajatnya dengan Allah.

Sedangkan ketika seorang hendak mendapatkan bantuan atau pertolongan dari rakannya, ia sanggup merintih, berbisik-bisik dan merayu dengan suara yang merendah dan bersungguh-sungguh. Maka mustahil ia boleh terlalai kerana ia benar sedang memerlukan bantuan dari sahabatnya itu.Oleh itu segeralah memberikan pertolongan kepada hati yang lalai ketika bermunajat kepada Allah, dengan mengingatkan ia bahawa bila seseorang itu berhasrat hendak bertemu dengan Allah melalu solat bererti ia amat memerlukan.
Pertemuan itu amat penting dan ia mesti dihargai dengan mengajar diri sendiri agar berusaha menghindari sifat lalai itu.Untuk menjauhkan kelalaian itu dipaksa hati agar ia ingat akan Allah, dengan sentiasa mengawal wajah hati dari berpaling kepada Allah dengan khusyuk. Kerana apabila batin telah khusyuk maka segala perbuatan yang lahir juga akan menjadi khusyuk.Bila anggota lahir melakukan gerakan yang tidak perlu seperti menyapu muka, mengurut janggut, membelai hujung serban dan sebagainya ini menandakan hatinya tidak khusyuk.

Jasad manusia ibarat rakyat, hati adalah pemerintahnya, sudah tentu rakyat akan bekerja menurut arahan permerintahannya. Demian juga sifat khusyuk itu akan mempengaruhi perbuatan yang lahir.

Oleh itu Rasullullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:-"Ya Allah perbaiklah para pemimpin dan orang-orang yang dipimpin." Pemimpin dan orang yang dipimpin itu bukan sahaja bermaksud pemerintah atau raja dan rakyat, tetapi juga pengertian pemimpin dan orang yang itu termasuklah hati dan anggota jasad. Wallahualam.

dipetik dari Tazkirah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat


Aduhai bidadari syurga…

Mendengar lagu dan membaca hikayat kalian
membuatkan aku tertanya-tanya.
Mampukah aku menjadi seperti kalian?
Layakkah aku berdiri di sisi kalian?
Sedangkan perjuangan ku tak tersaing dengan kalian
dan kehambaan ku tak sehebat pengabdian kalian…..
Riwayat bidadari syurga,
menambat hatiku pada Yang Esa…

Al-Khansaa` berpuisi pada putera-puteranya :
“Wahai putera-puteraku,
Jika kamu bangun esok pagi
Keluarlah memerangi musuh-musuh Allah
Dan kerana Nya, kamu akan mendapat kemenangan.”
Begitulah Al-Khansaa`
Tidak diratapi putera-puteranya yang gugur
Tidak disesali putera-puteranya yang syahid…

Iman dan taqwa ini
Begitu menusuk jiwanya
Hingga pujukan ayahnya
Gagal melenturkan hatinya
Ayahnya Musyriq
Suaminya Nasrani
Wahai Ramlah,
Kesabaranmu diganjar i Allah
Ayahmu menjadi muslim
Dan suamimu Rasulullah S.A.W..
Tanpa gentar engkau berjuang
Penuh megah kau julangi panji-panji Islam
Wahai Nasibah
Engkau adalah lambang
Kegagahan seorang wanita…

Yang bijak, yang anggun
Yang tegas, yang lembut
Dirimu pelengkap sifat wanita
Kesetiaanmu pada Uthman tiada tandingan
Wahai Nai`lah Al-Farafishah
Engkaulah hiasan sebaik permata….

Pengorbanan Saudah yang tak ternilai harganya…
Mengutamakan yang lebih utama di hati Baginda
Walau dirimu berendam air mata…
Wahai Rasulullah, biarkan aku terus menjadi isterimu
Kerana kedudukan itu
Lebih mulia dari seorang janda”…
Mulianya hatimu wahai Suadah binti Zam` ah….

Hafsah bin Umar…
Dalam kelemahan sebagai manusia
Masih ada ruang memohon ampun Nya
Kau satukan helaian wahyu
Kalimah yang agung
Menjadi lembar pedoman turun temurun

Rumaisa
Kau sedar setiap anugerah itu adalah pinjaman
Penuh redha engkau terima
Setiap kau miliki bukanlah milikmu yang hakiki
Tiba masa harus kembali pada yang haq
Walaupun yang dikembalikan itu
Adalah anakmu sendiri….

Pelbagai iktibar dapat kita teladani melalui kisah-kisah mereka.Kisah Hawa, Siti Khadijah r.a, Aisyah r.a, Pesona Zulaikha, Balqis, Ainul Mardhiah, Zubaidah Binti Jaafar, Halimah As-Sa`adiah, Yukabid, Fatimah Az-Zahra, Hindun, Asiah, Nasibah, Asma` Bt Abu Bakar, Zainab Bt Ali, Rabiatul Adawiyah, Zinnirah, Masyitah dan nama-nama serikandi Islam yang lain. Pelbagai buku yang menceritakan kisah serikandi-serikandi Islam terdapat di pasaran.

Dan, sama-samalah kita menghayati dan menyusuri liku-liku kehidupan dan pengorbanan serikandi-serikandi Islam yang sanggup berjuang dan berkorban mempertahankan keimanan mereka terhadap Allah S.W.T sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa mereka sendiri. Itu semua dilakukan demi meninggikan syiar Islam di muka bumi ini dan mengagungkan agama Allah.

Walaupun kita mungkin tidak mampu meletakkan nama kita sebaris dengan para seikandi ini tetapi marilah kita berusaha untuk memperbaiki diri dan meningkatkan keimanan kita supaya kita dapat bersama-sama mereka di syurga nanti.Insyaallah. Al Fatihah untuk para seikandi ini.Semoga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat dan redha Allah S.W.T.